MEMPERBETULKAN
TANGGAPAN NEGATIF DI KALANGAN PELAJAR
DALAM BIOLOGI
Oleh Pn. Munirah Binti Jaafar @ Mustapha
Guru Cemerlang Biologi
Ini adalah antara reaksi
pelajar-pelajar aliran Sains apabila ditanya pendapat mereka tentang belajar Biologi
:
SAYA TIDAK TAHU DI MANA NAK MULA?
Anda harus melihat keseluruhan topik yang ada. Kemudian,
buatlah satu senarai semak yang mengandungi topik dan subtopik. Dari sini, anda
akan dapat mengesan tajuk –tajuk yang masih belum dapat dikuasai bermula dari
tingkatan empat. Mula dari sekarang!
Jangan berlengah dan memberikan pelbagai alasan kerana masa dan kesempatan yang
ada tidak akan menunggu anda.
Topik-topik yang sudah dibaca, harus ditanda sebagai
selesai diulangkaji.
BANYAKNYA NAK KENA BACA, DAN MASANYA PULA SINGKAT....POT..PET..POT..PET..
Hal ini berpunca daripada sikap anda yang menganggap Biologi
mudah! Anda memandang enteng dan tidak mengulangkaji apa yang dipelajari. Masa
kian berlalu dan hanya sedar apabila guru anda memberitahu tarikh peperiksaan
sudahpun hampir. Nescaya, pada waktu itu anda akan mula menggelabah dan
memarahi diri kerana cuai serta leka. Saranan cikgu ialah, anda harus berhenti
mengeluh dan merintih! Untuk mengelakkan situasi sebegini terjadi, perkara
utama yang harus anda lakukan ialah, tumbuhkan dan semaikan rasa senang
terhadap Biologi. Anggapkan buku Biologi sebagai bahan bacaan yang menyenangkan
seperti anda selalu menyelak helaian novel-novel Ain Maisarah atau pun Harry
Potter. Bawalah selalu buku Biologi walau ke mana anda pergi. Sekiranya ada
masa luang, dapatlah anda membacanya. Kemudian, anda WAJIB menggunakan kaedah
BIO-DIAGRAM yang selalu cikgu uar-uarkan iaitu permudahkan nota anda dalam
suatu gambarajah yang lengkap dan berlabel. Bayangkan, apabila anda
mempraktikkan kaedah ini, anda sudahpun mendapat beberapa kebaikan iaitu, anda
dapat mengingati dan melukis rajah, melabel struktur-struktur penting,
membiasakan diri dengan ejaan dan istilah sains yang betul dan mengingati
proses mengikut urutan. Kemudaha internet yang ada sekarang juga menyebabkan sebilangan
anda mempunyai Facebook. Alangkah baik sekiranya anda gunakan kemudahan
internet itu untuk melayari laman Youtube untuk melihat dengan jelas simulasi
atau paparan sebenar proses-proses Biologi.
SUSAHNYA TAJUK INI, SAYA TAK FAHAM LANGSUNG!
Apabila anda sudah menyenangi Biologi, menyenangi guru yang
mengajar Biologi, maka sudah tentu secara automatiknya anda akan terdorong
untuk mendalami Biologi. Apabila anda menemukan sesuatu yang sukar dalam proses
ulangkaji atau mendengar rakan-rakan menyebut sesuatu yang agak asing pada
pendengaran anda, maka segeralah anda merujuk kepada rakan-rakan yang lebih
arif atau bertemu sahaja dengan guru. Jangan biarkan perkara ini berlarutan
kerana ditakuti motivasi anda untuk belajar Biologi akan menurun.
SAYA BACA, SAYA FAHAM, TAPI SAYA TAK INGAT LANGSUNG!
Setiap topik dalam Biologi adalah berkaitan antara satu sama
lain. Adalah penting untuk anda memahami dan mendalaminya secara
menghubungkaitkan topik-topik berkaitan. Sebagai contoh, untuk memahami topik pembiakan
dan pertumbuhan, anda harus kukuh asas pembahagian sel terlebih dahulu. Apabila
anda membaca, terutamanya yang melibatkan urutan proses atau istilah-istilah
sains, anda harus melakukan hafalan berulangkali. Kemudian, berusaha untuk
menulisnya secara berulangkali sehingga anda dapat mengingati secara
keseluruhan dengan jayanya. Membina formula sendiri juga amatlah dialu-alukan
seperti:
Contoh Monosakarida –
Ma Suka Laksa iaitu Maltosa, Sukrosa dan Laktosa
Kesimpulannya, untuk mengatasi masalah lupa, anda harus ada
inisiatif sendiri untuk melakukan pembacaan. Pembacaan yang aktif iaitu yang
melibatkan kesemua deria anda akan mengelakkan rasa bosan apabila membaca.
SAYA FAHAM BILA CIKGU MENGAJAR TAPI BILA KELUAR DARI KELAS SAJA, SAYA RASA PEMAHAMAN SAYA MENURUN....AGAK-AGAKNYA SAYA FAHAM KOT
Baca terlebih dahulu sebelum kelas bermula. Ini akan membantu
pemahaman anda sewaktu guru menerangkannya. Fokus kepada apa yang disampaikan
oleh guru. Libatkan secara aktif dalam perbincangan di kelas. Guru hanyalah
sebagai pemudahcara sahaja. Menjadi tugas anda sebagai pelajar untuk
mengukuhkan pemahaman yang sedia ada. Anda seringkali meluahkan kepada guru
supaya melakukan ulangkaji topik-topik yang lepas dalam bilik darjah. Mungkin
anda terlupa bahawa tugas mengulangkaji adalah tugas anda tanpa menunggu guru
yang melakukannya. Terlalu banyak yang harus guru anda tekankan dan berapalah
sangat yang boleh dilakukan oleh insan yang bernama GURU ini dalam waktu
pengajaran yang begitu singkat! Jadi, sebagai aktiviti pengukuhan untuk
membantu supaya ilmu itu bertahan lama, selalulah melakukan aktiviti menjawab
soalan berkaitan topik tersebut sebaik sahaja kelas berakhir. Praktiskan
teknik-teknik menjawab yang diajarkan oleh guru. Lebih-lebih lagi, sekarang
kita berdepan dengan transformasi bentuk soalan yang menekankan Kemahiran
Berfikir Aras Tinggi.
SAYA DAH BACA, DAH HAFAL, DAH ULANGKAJI TETAPI MARKAH SAYA MASIH RENDAH. SAYA TAK PANDAI, SAYA MALU
Untuk cemerlang
Biologi, anda juga harus tahu strategi belajar. Biologi mempunyai tiga kertas
iaitu Kertas 1 soalan objektif, kertas 2 soalan struktur dan esei manakala
Kertas 3 soalan struktur dan penyediaan eksperimen. Anda seharusnya meluangkan
masa menjawab kertas 1 tiga kali dalam seminggu. Lakukannya berulangkali
walaupun pada soalan yang sama. Mungkin kali pertama anda menjawab, anda akan
mengambil masa yang agak lama kerana terpaksa merujuk kepada buku. Catatkan
segala maklumat yang anda perolehi pada soalan. Kali kedua, anda hanya rujuk
buku pada bahagian soalan yang anda lupa atau keliru. Dan percayalah, kali
ketiga, anda sudah boleh menamatkan aktiviti menjawab lebih pantas dari
kebiasaannya. Kertas 2 pula memerlukan pemahaman anda terhadap kehendak
soalan. Baca berulangkali soalan dan
pecahkannya kepada empat komponen seperti berikut:
1. Ransangan: informasi
atau pemberitahuan yang spesifik
Rajah, graf, pernyataan dan
sebagainya..
2. Arahan
Lukiskan, terangkan, bandingkan,
bezakan, nyatakan maksud, bincangkan dan sebagainya…..
3. Tugasan
Fahamkan tugasan yang diberi
4. Markah
Menunjukkan berapa point yang harus anda tulis
Contoh:
Seorang pelajar menjalankan satu eksperimen dengan menggunakan enzim X.
Dia menggantikan lipid dengan maltosa sebagai substrat. Pada akhir eksperimen, dia
mendapati tindak balas tidak berlaku.
Berdasarkan
hipotesis mangga dan kunci, terangkan pernyataan di atas.
(4 Markah)
Ransangan : ialah pernyataan iaitu
Seorang pelajar menjalankan satu eksperimen dengan
menggunakan enzim X. Dia menggantikan lipid dengan maltosa sebagai substrat.
Pada akhir eksperimen, dia mendapati tindak balas tidak berlaku
Arahan :
Terangkan
Tugasan :
berdasarkan hipotesis mangga dan kunci, terangkan pernyataan di atas
Markah :
4 markah
Begitu juga dengan kertas 3 yang
berbentuk teknikal, jadikan latihan menjawab kertas 3 sebagai suatu disiplin. Penekanan
yang lebih harus diberikan kepada teknik-teknik menjawab dan ini hanya boleh
diperolehi apabila anda membiasakan diri menjawab soalan dan guru menyemak
jawapan anda.
ASAL BACA BIOLOGI JE SAYA RASA MENGANTUK....
SAYA RELA BACA NOVEL DARI BACA BIOLOGI......
TAPI, SAYA SUKA BACA BIOLOGI ATAS KATIL SAYA..SENANG NAK TIDUR...
Wah! Banyak pula alasan yang anda berikan apabila disoal oleh
guru kenapa markah anda tidak seperti yang diharapkan.
Apabila anda ingin cemerlang, anda
harus BERKORBAN segala kesenangan, keegoan dan kenikmatan. Sebagai contoh, anda
senang sekali membaca buku atas katil empuk anda. Anda sendiri pun tahu, anda
hanya membaca untuk 20 minit yang pertama sahaja dan kemudian anda akan mula
tertidur. Apa kata, mulakan dari sekarang, korbankan seketika kesenangan anda,
bangun dan belajarlah di meja. Pastikan semua alat tulis dan buku rujukan sudah
ada di sisi. Pengudaraan yang baik dan pencahayaan yang cukup dapat mengelakkan
anda mengantuk. Begitu juga anda begitu ego mengatakan anda akan mengantuk
apabila membaca buku Biologi. Mengapa? Kerana anda hanya sekadar membaca, anda
harus melibatkan kesemua deria anda dan jadikan pembacaan anda aktif seperti
mencatat nota-nota penting, melukis rajah, membuat peta minda dan menjawab
soalan. Membaca novel sememangnya suatu kenikmatan yang tidak terhingga bagi mereka
yang meminatinya. Namun, harus diingatkan bahawa anda perlu berkorban
kenikmatan tersebut demi kenikmatan kejayaan yang lebih besar. Novel yang ada
di pasaran sekarang ini kebanyakannya mengutarakan kisah percintaan yang hampir
sama. Anda terbuai-buai perasaan mengikut perjalanan cerita yang hanya direka
oleh penulis untuk melariskan jualan. Apa kata jika anda simpankan sahaja novel
tersebut sebagai stok simpanan untuk dibaca usai SPM tamat. Resepi orang yang
berjaya ialah, mereka sanggup berkorban demi kejayaan yang lebih gemilang di
kemudian hari. Nikmat anda membaca novel, menonton televisyen, tidur berjam-jam
lamanya hanyalah nikmat sementara yang harus dikorbankan supaya anda dapat
menikmati kemanisan yang lebih berganda-ganda nanti.
Kesimpulannya;
Tips belajar Biologi di atas akan
bermanfaat sekiranya kita melaksanakannya dengan kesungguhan hati disertai niat
dan motivasi tinggi, penuh konsentrasi, dilakukan secara teratur dan harus sering diulang. Jika cara – cara di
atas kita laksanakan sebaik – baiknya , maka kita akan tercengang melihat
hasilnya. Selamat mencuba dan semoga berhasil.
No comments:
Post a Comment