MEMBUDAYAKAN
PEMIKIRAN KREATIF DAN INOVATIF DALAM PEMBELAJARAN BIOLOGI ERA PANDEMIK COVID19
Oleh Munirah Binti Jaafar @ Mustapha
Guru Cemerlang Biologi
SMK Zainab, Kota Bharu, Kelantan
Pembudayaan pemikiran kreatif dan
inovatif dalam kalangan guru dan murid adalah penting bagi melahirkan generasi
yang produktif, kompeten dan mempunyai daya cipta yang tinggi sesuai dengan
hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Untuk itu,
pembudayaan pemikiran murid yang didorong dan dibimbing oleh guru hendaklah
bermula di peringkat sekolah lagi sesuai dengan 6 aspirasi murid. Perkembangan
pendidikan pada abad ke 21 memperlihatkan betapa Kementerian Pendidikan
Malaysia, KPM terlalu menekankan banyak kemahiran seperti pemikiran kritis,
pemikiran kreatif, kolaborasi dan komunikasi. Tambahan pula berlakunya
perkembangan teknologi yang terlalu pesat banyak mempengaruhi proses pendidikan
masa kini.
Sebagai menyahut seruan kerajaan ini,
saya sebagai seorang guru biologi telah sedaya upaya untuk merealisasikannya
dalam pengajaran saya. Perlu diingat bahawa kaedah pengajaran pada hari ini
tidak seharusnya dibelenggu oleh buku teks dan kaedah ‘chalk and talk’
semata-mata serta berpusat kepada guru sahaja. Pengajaran seharusnya perlu
berpusat kepada murid melalui amalan prinsip kepelbagaian di bilik darjah. Pendekatan
ini mewujudkan keseronokan dalam pembelajaran dan seterusnya meningkatkan
keberkesanan pembelajaran kepada murid tersebut. Krisis dunia akibat penularan
wabak Covid19 telah mengheret bidang pendidikan negara ke arah transformasi
yang sangat drastik.
Dalam penulisan ini, penulis ingin
memfokuskan usaha yang boleh dilaksanakan oleh para guru selain daripada
penggunaan peranti dalam pembelajaran semasa era pandemik ini memandangkan
semua guru melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sebagai
alternatif pembelajaran norma baharu. Di sebalik musibah yang menimpa ini,
terdapat sisi positif yang penulis dapati iaitu pembelajaran era pandemik ini
ternyata menuntut para guru untuk sentiasa berfikir di luar kebiasaan demi
melahirkan generasi yang tidak keciciran serta demi mengekalkan momentum mood pembelajaran di kalangan murid.
Ketersediaan teknologi perlu digabungkan dengan pembelajaran secara teks,
audio, video dan multimedia. Terlalu banyak pelantar pembelajaran, aplikasi dan
ePermainan yang menuntut murid untuk menggunakan peranti berskrin seperti
komputer, komputer riba, tablet dan telefon pintar dalam tempoh yang lama.
Antara kaedah dan teknik pengajaran
yang dikenal pasti sesuai untuk membudayakan pemikiran kreatif dan inovatif
ialah penggunaan sumber alam, kaedah Bio-Penyiasatan, penggunaan flip notes,
kaedah Bio-Seronok dan menghasilkan nota biologi dengan kreatif dan menarik
yang dikenali sebagai Bio-Munie Styles.
Penggunaan
Sumber Alam Dalam Pengajaran dan Pembelajaran
Memandangkan pembelajaran biologi
banyak melibatkan organisma hidup maka guru boleh menggunakan sumber alam
sekitar seperti sampel tumbuh-tumbuhan atau haiwan sebagai bahan bantu
mengajar. Sesekali guru harus mengalihkan fokus murid yang terpaksa berdepan
dengan pembelajaran secara digital untuk kebanyakan subjek. Penggunaan kaedah
aktiviti pembelajaran dengan melaksanakannya (hands-on-learning) menggunakan sumber alam di sekitar rumah mereka
lebih berkesan kerana murid tidak menghafal ilmu yang kaku, sebaliknya mereka
melibatkan diri secara aktif dan meneroka untuk mencari ilmu.
1. Murid boleh diberi tugasan seperti
mengumpulkan spesimen tumbuhan yang terdapat di sekeliling kediaman mereka dan
menghasilkan herbarium yang mengandungi data seperti taksonomi, morfologi,
ekologi dan maklumat kegunaan tumbuhan tersebut. Murid boleh menggabungjalinkan
penggunaan medium Google untuk mencari maklumat tersebut.
|
Contoh herbarium yang
dihasilkan oleh murid penulis
2. Murid mengumpul daun-daun tumbuhan
di sekitar rumah masing-masing yang menunjukkan kesan kekurangan makronutrien
dan mikronutrien seperti daun menjadi kuning, daun sisi menjadi bercuping, daun
yang berbintik merah dan sebagainya. Murid diminta mengenal pasti jenis
kekurangan makronutrien dan mikronutrien dan cara mengatasinya bagi membolehkan
pokok tersebut mencapai pertumbuhan dan perkembangan yang optimum.
|
3. Murid melakukan pembelahan bunga
jenis biseks dan menampalkan bunga tersebut pada kertas lalu melabel struktur
dan menyatakan ciri dan fungsinya.
4. Murid melakukan pembelahan secara
keratan rentas pada batang tumbuhan hidrofit seperti Keladi bunting untuk
melihat tisu aerenkima secara nyata. Murid menampal bunga tersebut pada kertas
atau buku, melabel dan menyatakan fungsi serta ciri penyesuaian tumbuhan
tersebut di habitat berkenaan. Guru boleh mempelbagaikan lagi aktiviti ini
untuk tumbuhan yang lain.
5. Murid menangkap belalang dan melihat
struktur kaki belalang. Murid menangkap gambar dan melabelkannya menggunakan
aplikasi pada telefon pintar. Murid juga boleh melakukan aktiviti yang sama
untuk pembelajaran memerhatikan struktur respirasi ikan.
Kaedah
Bio-Penyiasatan
Dalam memupuk kemahiran berfikir
secara kreatif dan inovatif, saya mengesyorkan Model Inkuiri yang merangkumi kemahiran
proses sains murid seperti memerhati, mengukur dan menggunakan nombor, membuat
inferens, meramalkan, berkomunikasi, menggunakan perhubungan ruang dan masa,
membuat hipotesis, mengeksperimen dan mengawal pemboleh ubah. Saya membimbing
murid melalui penerangan sama ada secara penulisan, video atau audio.
1. Murid melakukan penyiasatan
mengenai pertumbuhan biji benih dengan menanam biji benih kacang dalam bekas cd
terpakai. Daripada eksperimen ini, murid diminta mengukur pertumbuhan pokok
kacang. Pemerhatian boleh dilakukan sepanjang masa kerana murid-murid berada di
rumah sepanjang tempoh kawalan pergerakan ini.
2. Murid melakukan penggelangan
batang pokok di rumah masing-masing untuk mengkaji peranan tisu floem dalam
pengangkutan bahan organik. Murid diminta untuk merakam foto sebelum dan selepas
aktiviti penggelangan batang dan menyediakan laporan mengenainya.
Kaedah
Penggunaan Flipped Notes
Kreativiti murid dapat dicungkil
seandainya guru bijak menjalankan aktiviti yang boleh meransang minda murid.
Kadang-kadang pengajaran dan pembelajaran secara biasa tidak mampu menajamkan
kreativiti murid. Melalui penghasilan flipped notes yang menggunakan kertas
yang berwarna-warni dalam pelbagai bentuk dan mempunyai nota ringkas dari
pembacaan murid menjadikan penyampaian maklumat tersusun, terurus dan
terancang. Ini memudahkan murid meningkatkan ingatan kerana isi pelajaran yang
dibaca disusun secara berperingkat-peringkat mengikut urutan yang rapi.
Antara contoh Flipped Notes yang
dihasilkan oleh murid penulis
Kaedah
Bio-Seronok
Guru perlu mencari idea untuk
mewujudkan persekitaran yang kreatif. Sebagaimana contoh, penulis menerangkan
mengenai konsep larutan hipotonik, hipertonik dan isotonik dan memberikan
contoh aktiviti yang boleh dilakukan oleh murid secara kendiri di rumah
masing-masing. Benda kreatif yang berada di sekeliling murid boleh diaplikasi
dan secara tidak langsung membentuk gaya pemikiran di luar kotak minda mereka.
Guru boleh mencadangkan idea kreatif dengan memberikan tugasan yang hampir
serupa dengan buku teks tetapi mengolah bahan yang akan digunakan oleh murid
supaya senang didapati dalam era pandemik ini.
1. Murid didedahkan menggunakan spesimen
hidup seperti cili dan batang bayam untuk menerangkan konsep osmosis namun guru
boleh juga menggunakan gula-gula gummy bear, telur atau belon untuk menerangkan
konsep ini. Sebagaimana contoh, murid telah diminta untuk melakukan penyiasatan
sendiri dalam tempoh masa yang ditetapkan dan hasilnya murid lebih jelas
tentang konsep yang diajar.
2. Murid mengaplikasikan apa yang
dipelajari semasa pembelajaran maya dengan melaksanakan pelbagai aktiviti hands on menggunakan sumber yang ada di
sekeliling mereka. Menurut Sister Judith
Mary Frederick, fifth grade teacher, St. Mary’s Elementary School, Sandusky,
pembelajaran secara hands on bukan sekadar pembelajaran secara
suka-suka kerana ia berupaya untuk menjadikan murid sebagai individu yang dapat
berfikir secara kritikal dan berupaya mengaplikasikan apa yang dipelajari dalam
kehidupan.
Sebagai contoh, murid menghasilkan model sel tumbuhan dan sel haiwan menggunakan makanan. Seterusnya murid diminta menyatakan nama, ciri dan fungsi setiap komponen yang terdapat dalam sel haiwan dan sel tumbuhan. Guru jangan terlalu terikat kepada penggunaan buku teks secara linear.
Murid belajar tentang satah, keratan
dan arah lalu menghasilkan contoh melalui model doh, plastisin, lego atau
makanan. Murid diberi kebebasan untuk melaporkan tugasan mereka dalam pelbagai
bentuk. Cara ini membolehkan mereka berlumba-lumba untuk menghasilkan tugasan
yang unik, kreatif dan menarik.
Penghasilan
nota biologi dengan kreatif dan menarik yang dikenali sebagai Bio-Munie Styles.
Penghasilan nota biologi menggunakan
kaedah peta minda atau grafik sangat digalakkan oleh saya kerana subjek ini
menuntut murid untuk memahami banyak proses pembinaan ingatan yang bermula dari
tajuk-tajuk kecil sehinggalah tajuk-tajuk rumit dengan pelbagai terminologi
sains yang sukar untuk diingati. Guru seharusnya membiarkan murid berintegrasi
dengan seni dalam menghasilkan nota mereka. Penggabungan seni dengan sains
dapat membantu perkembangan kebolehan murid belajar dengan dinamik. Untuk
mencapai tujuan tersebut, galakkan anak murid kita menggunakan otak kanan dan
kiri secara seimbang dan optimum. Otak mudah teransang dengan warna dan grafik
yang berlainan.
Nota yang dihasilkan oleh murid dan
penulis
Kaedah
Lestari KBAT
Kaedah ini merupakan kaedah penyelesaian
masalah supaya murid-murid dapat melihat kelebihan dan kekurangan bahan yang
digunakan dalam pembelajaran. Pada akhir sesi pembelajaran, selalunya saya akan
memberikan satu soalan berbentuk penyelesaian masalah supaya mereka dapat
melakukan pencarian fakta (fact finding) dan pencarian idea (idea finding)
melalui pembacaan dari buku teks, buku rujukan dan secara maya. Kesimpulannya,
keadaan persekitaran kita hendaklah dijadikan medium sebagai sumber percambahan
idea murid. Murid akan berusaha sebaik mungkin untuk memikirkan langkah yang
terbaik untuk menyelesaikan masalah yang diberi oleh guru. Ini akan membantu
murid untuk berfikir di luar kebiasaan. Sekiranya murid silap dalam memberikan
jawapan, guru tidak perlu melenting sebaliknya beri mereka bimbingan untuk
menilai semula kesilapan mereka.
.
No comments:
Post a Comment