Sunday, July 18, 2021

MEMBUDAYAKAN PEMIKIRAN KREATIF DAN INOVATIF DALAM PEMBELAJARAN BIOLOGI ERA PANDEMIK COVID19

 

MEMBUDAYAKAN PEMIKIRAN KREATIF DAN INOVATIF DALAM PEMBELAJARAN BIOLOGI ERA PANDEMIK COVID19

Oleh Munirah Binti Jaafar @ Mustapha

Guru Cemerlang Biologi

SMK Zainab, Kota Bharu, Kelantan

Pembudayaan pemikiran kreatif dan inovatif dalam kalangan guru dan murid adalah penting bagi melahirkan generasi yang produktif, kompeten dan mempunyai daya cipta yang tinggi sesuai dengan hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Untuk itu, pembudayaan pemikiran murid yang didorong dan dibimbing oleh guru hendaklah bermula di peringkat sekolah lagi sesuai dengan 6 aspirasi murid. Perkembangan pendidikan pada abad ke 21 memperlihatkan betapa Kementerian Pendidikan Malaysia, KPM terlalu menekankan banyak kemahiran seperti pemikiran kritis, pemikiran kreatif, kolaborasi dan komunikasi. Tambahan pula berlakunya perkembangan teknologi yang terlalu pesat banyak mempengaruhi proses pendidikan masa kini.

Sebagai menyahut seruan kerajaan ini, saya sebagai seorang guru biologi telah sedaya upaya untuk merealisasikannya dalam pengajaran saya. Perlu diingat bahawa kaedah pengajaran pada hari ini tidak seharusnya dibelenggu oleh buku teks dan kaedah ‘chalk and talk’ semata-mata serta berpusat kepada guru sahaja. Pengajaran seharusnya perlu berpusat kepada murid melalui amalan prinsip kepelbagaian di bilik darjah. Pendekatan ini mewujudkan keseronokan dalam pembelajaran dan seterusnya meningkatkan keberkesanan pembelajaran kepada murid tersebut. Krisis dunia akibat penularan wabak Covid19 telah mengheret bidang pendidikan negara ke arah transformasi yang sangat drastik.

Dalam penulisan ini, penulis ingin memfokuskan usaha yang boleh dilaksanakan oleh para guru selain daripada penggunaan peranti dalam pembelajaran semasa era pandemik ini memandangkan semua guru melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sebagai alternatif pembelajaran norma baharu. Di sebalik musibah yang menimpa ini, terdapat sisi positif yang penulis dapati iaitu pembelajaran era pandemik ini ternyata menuntut para guru untuk sentiasa berfikir di luar kebiasaan demi melahirkan generasi yang tidak keciciran serta demi mengekalkan momentum mood pembelajaran di kalangan murid. Ketersediaan teknologi perlu digabungkan dengan pembelajaran secara teks, audio, video dan multimedia. Terlalu banyak pelantar pembelajaran, aplikasi dan ePermainan yang menuntut murid untuk menggunakan peranti berskrin seperti komputer, komputer riba, tablet dan telefon pintar dalam tempoh yang lama.

 

 

Antara kaedah dan teknik pengajaran yang dikenal pasti sesuai untuk membudayakan pemikiran kreatif dan inovatif ialah penggunaan sumber alam, kaedah Bio-Penyiasatan, penggunaan flip notes, kaedah Bio-Seronok dan menghasilkan nota biologi dengan kreatif dan menarik yang dikenali sebagai Bio-Munie Styles.

Penggunaan Sumber Alam Dalam Pengajaran dan Pembelajaran

Memandangkan pembelajaran biologi banyak melibatkan organisma hidup maka guru boleh menggunakan sumber alam sekitar seperti sampel tumbuh-tumbuhan atau haiwan sebagai bahan bantu mengajar. Sesekali guru harus mengalihkan fokus murid yang terpaksa berdepan dengan pembelajaran secara digital untuk kebanyakan subjek. Penggunaan kaedah aktiviti pembelajaran dengan melaksanakannya (hands-on-learning) menggunakan sumber alam di sekitar rumah mereka lebih berkesan kerana murid tidak menghafal ilmu yang kaku, sebaliknya mereka melibatkan diri secara aktif dan meneroka untuk mencari ilmu.

1. Murid boleh diberi tugasan seperti mengumpulkan spesimen tumbuhan yang terdapat di sekeliling kediaman mereka dan menghasilkan herbarium yang mengandungi data seperti taksonomi, morfologi, ekologi dan maklumat kegunaan tumbuhan tersebut. Murid boleh menggabungjalinkan penggunaan medium Google untuk mencari maklumat tersebut.

 

 

 

 

 

 

 

 


Contoh herbarium yang dihasilkan oleh murid penulis

2. Murid mengumpul daun-daun tumbuhan di sekitar rumah masing-masing yang menunjukkan kesan kekurangan makronutrien dan mikronutrien seperti daun menjadi kuning, daun sisi menjadi bercuping, daun yang berbintik merah dan sebagainya. Murid diminta mengenal pasti jenis kekurangan makronutrien dan mikronutrien dan cara mengatasinya bagi membolehkan pokok tersebut mencapai pertumbuhan dan perkembangan yang optimum.


 

 

 

 

 

 

 

 


                                   

 

3. Murid melakukan pembelahan bunga jenis biseks dan menampalkan bunga tersebut pada kertas lalu melabel struktur dan menyatakan ciri dan fungsinya.


 

 

 

 

 

 


4. Murid melakukan pembelahan secara keratan rentas pada batang tumbuhan hidrofit seperti Keladi bunting untuk melihat tisu aerenkima secara nyata. Murid menampal bunga tersebut pada kertas atau buku, melabel dan menyatakan fungsi serta ciri penyesuaian tumbuhan tersebut di habitat berkenaan. Guru boleh mempelbagaikan lagi aktiviti ini untuk tumbuhan yang lain.


5. Murid menangkap belalang dan melihat struktur kaki belalang. Murid menangkap gambar dan melabelkannya menggunakan aplikasi pada telefon pintar. Murid juga boleh melakukan aktiviti yang sama untuk pembelajaran memerhatikan struktur respirasi ikan.



Kaedah Bio-Penyiasatan

Dalam memupuk kemahiran berfikir secara kreatif dan inovatif, saya mengesyorkan Model Inkuiri yang merangkumi kemahiran proses sains murid seperti memerhati, mengukur dan menggunakan nombor, membuat inferens, meramalkan, berkomunikasi, menggunakan perhubungan ruang dan masa, membuat hipotesis, mengeksperimen dan mengawal pemboleh ubah. Saya membimbing murid melalui penerangan sama ada secara penulisan, video atau audio.

1. Murid melakukan penyiasatan mengenai pertumbuhan biji benih dengan menanam biji benih kacang dalam bekas cd terpakai. Daripada eksperimen ini, murid diminta mengukur pertumbuhan pokok kacang. Pemerhatian boleh dilakukan sepanjang masa kerana murid-murid berada di rumah sepanjang tempoh kawalan pergerakan ini.

                


2. Murid melakukan penggelangan batang pokok di rumah masing-masing untuk mengkaji peranan tisu floem dalam pengangkutan bahan organik. Murid diminta untuk merakam foto sebelum dan selepas aktiviti penggelangan batang dan menyediakan laporan mengenainya.


Kaedah Penggunaan Flipped Notes

Kreativiti murid dapat dicungkil seandainya guru bijak menjalankan aktiviti yang boleh meransang minda murid. Kadang-kadang pengajaran dan pembelajaran secara biasa tidak mampu menajamkan kreativiti murid. Melalui penghasilan flipped notes yang menggunakan kertas yang berwarna-warni dalam pelbagai bentuk dan mempunyai nota ringkas dari pembacaan murid menjadikan penyampaian maklumat tersusun, terurus dan terancang. Ini memudahkan murid meningkatkan ingatan kerana isi pelajaran yang dibaca disusun secara berperingkat-peringkat mengikut urutan yang rapi.

 


Antara contoh Flipped Notes yang dihasilkan oleh murid penulis

 

Kaedah Bio-Seronok

Guru perlu mencari idea untuk mewujudkan persekitaran yang kreatif. Sebagaimana contoh, penulis menerangkan mengenai konsep larutan hipotonik, hipertonik dan isotonik dan memberikan contoh aktiviti yang boleh dilakukan oleh murid secara kendiri di rumah masing-masing. Benda kreatif yang berada di sekeliling murid boleh diaplikasi dan secara tidak langsung membentuk gaya pemikiran di luar kotak minda mereka. Guru boleh mencadangkan idea kreatif dengan memberikan tugasan yang hampir serupa dengan buku teks tetapi mengolah bahan yang akan digunakan oleh murid supaya senang didapati dalam era pandemik ini.

1. Murid didedahkan menggunakan spesimen hidup seperti cili dan batang bayam untuk menerangkan konsep osmosis namun guru boleh juga menggunakan gula-gula gummy bear, telur atau belon untuk menerangkan konsep ini. Sebagaimana contoh, murid telah diminta untuk melakukan penyiasatan sendiri dalam tempoh masa yang ditetapkan dan hasilnya murid lebih jelas tentang konsep yang diajar.

2. Murid mengaplikasikan apa yang dipelajari semasa pembelajaran maya dengan melaksanakan pelbagai aktiviti hands on menggunakan sumber yang ada di sekeliling mereka. Menurut Sister Judith Mary Frederick, fifth grade teacher, St. Mary’s Elementary School, Sandusky, pembelajaran secara hands on bukan sekadar pembelajaran secara suka-suka kerana ia berupaya untuk menjadikan murid sebagai individu yang dapat berfikir secara kritikal dan berupaya mengaplikasikan apa yang dipelajari dalam kehidupan.

                          

Sebagai contoh, murid menghasilkan model sel tumbuhan dan sel haiwan menggunakan makanan. Seterusnya murid diminta menyatakan nama, ciri dan fungsi setiap komponen yang terdapat dalam sel haiwan dan sel tumbuhan. Guru jangan terlalu terikat kepada penggunaan buku teks secara linear.


                   










Murid belajar tentang satah, keratan dan arah lalu menghasilkan contoh melalui model doh, plastisin, lego atau makanan. Murid diberi kebebasan untuk melaporkan tugasan mereka dalam pelbagai bentuk. Cara ini membolehkan mereka berlumba-lumba untuk menghasilkan tugasan yang unik, kreatif dan menarik.




Penghasilan nota biologi dengan kreatif dan menarik yang dikenali sebagai Bio-Munie Styles.

Penghasilan nota biologi menggunakan kaedah peta minda atau grafik sangat digalakkan oleh saya kerana subjek ini menuntut murid untuk memahami banyak proses pembinaan ingatan yang bermula dari tajuk-tajuk kecil sehinggalah tajuk-tajuk rumit dengan pelbagai terminologi sains yang sukar untuk diingati. Guru seharusnya membiarkan murid berintegrasi dengan seni dalam menghasilkan nota mereka. Penggabungan seni dengan sains dapat membantu perkembangan kebolehan murid belajar dengan dinamik. Untuk mencapai tujuan tersebut, galakkan anak murid kita menggunakan otak kanan dan kiri secara seimbang dan optimum. Otak mudah teransang dengan warna dan grafik yang berlainan.




Nota yang dihasilkan oleh murid dan penulis

 

Kaedah Lestari KBAT

Kaedah ini merupakan kaedah penyelesaian masalah supaya murid-murid dapat melihat kelebihan dan kekurangan bahan yang digunakan dalam pembelajaran. Pada akhir sesi pembelajaran, selalunya saya akan memberikan satu soalan berbentuk penyelesaian masalah supaya mereka dapat melakukan pencarian fakta (fact finding) dan pencarian idea (idea finding) melalui pembacaan dari buku teks, buku rujukan dan secara maya. Kesimpulannya, keadaan persekitaran kita hendaklah dijadikan medium sebagai sumber percambahan idea murid. Murid akan berusaha sebaik mungkin untuk memikirkan langkah yang terbaik untuk menyelesaikan masalah yang diberi oleh guru. Ini akan membantu murid untuk berfikir di luar kebiasaan. Sekiranya murid silap dalam memberikan jawapan, guru tidak perlu melenting sebaliknya beri mereka bimbingan untuk menilai semula kesilapan mereka.

 

 


             

 

 

 

 

.