Thursday, June 6, 2013

MEMPERBETULKAN TANGGAPAN NEGATIF DI KALANGAN PELAJAR DALAM BIOLOGI


MEMPERBETULKAN TANGGAPAN NEGATIF DI KALANGAN PELAJAR  DALAM BIOLOGI
Oleh Pn. Munirah Binti Jaafar @ Mustapha
Guru Cemerlang Biologi
Ini adalah antara reaksi pelajar-pelajar aliran Sains apabila ditanya  pendapat mereka tentang belajar Biologi
:

SAYA TIDAK TAHU DI MANA NAK MULA?

Anda harus melihat keseluruhan topik yang ada. Kemudian, buatlah satu senarai semak yang mengandungi topik dan subtopik. Dari sini, anda akan dapat mengesan tajuk –tajuk yang masih belum dapat dikuasai bermula dari tingkatan empat.  Mula dari sekarang! Jangan berlengah dan memberikan pelbagai alasan kerana masa dan kesempatan yang ada tidak akan menunggu anda. 
Topik-topik yang sudah dibaca, harus ditanda sebagai selesai diulangkaji. 


BANYAKNYA NAK KENA BACA, DAN MASANYA PULA SINGKAT....POT..PET..POT..PET..

Hal ini berpunca daripada sikap anda yang menganggap Biologi mudah! Anda memandang enteng dan tidak mengulangkaji apa yang dipelajari. Masa kian berlalu dan hanya sedar apabila guru anda memberitahu tarikh peperiksaan sudahpun hampir. Nescaya, pada waktu itu anda akan mula menggelabah dan memarahi diri kerana cuai serta leka. Saranan cikgu ialah, anda harus berhenti mengeluh dan merintih! Untuk mengelakkan situasi sebegini terjadi, perkara utama yang harus anda lakukan ialah, tumbuhkan dan semaikan rasa senang terhadap Biologi. Anggapkan buku Biologi sebagai bahan bacaan yang menyenangkan seperti anda selalu menyelak helaian novel-novel Ain Maisarah atau pun Harry Potter. Bawalah selalu buku Biologi walau ke mana anda pergi. Sekiranya ada masa luang, dapatlah anda membacanya. Kemudian, anda WAJIB menggunakan kaedah BIO-DIAGRAM yang selalu cikgu uar-uarkan iaitu permudahkan nota anda dalam suatu gambarajah yang lengkap dan berlabel. Bayangkan, apabila anda mempraktikkan kaedah ini, anda sudahpun mendapat beberapa kebaikan iaitu, anda dapat mengingati dan melukis rajah, melabel struktur-struktur penting, membiasakan diri dengan ejaan dan istilah sains yang betul dan mengingati proses mengikut urutan. Kemudaha internet yang ada sekarang juga menyebabkan sebilangan anda mempunyai Facebook. Alangkah baik sekiranya anda gunakan kemudahan internet itu untuk melayari laman Youtube untuk melihat dengan jelas simulasi atau paparan sebenar proses-proses Biologi.


SUSAHNYA TAJUK INI, SAYA TAK FAHAM LANGSUNG!

Apabila anda sudah menyenangi Biologi, menyenangi guru yang mengajar Biologi, maka sudah tentu secara automatiknya anda akan terdorong untuk mendalami Biologi. Apabila anda menemukan sesuatu yang sukar dalam proses ulangkaji atau mendengar rakan-rakan menyebut sesuatu yang agak asing pada pendengaran anda, maka segeralah anda merujuk kepada rakan-rakan yang lebih arif atau bertemu sahaja dengan guru. Jangan biarkan perkara ini berlarutan kerana ditakuti motivasi anda untuk belajar Biologi akan menurun.


SAYA BACA, SAYA FAHAM, TAPI SAYA TAK INGAT LANGSUNG!

Setiap topik dalam Biologi adalah berkaitan antara satu sama lain. Adalah penting untuk anda memahami dan mendalaminya secara menghubungkaitkan topik-topik berkaitan. Sebagai contoh, untuk memahami topik pembiakan dan pertumbuhan, anda harus kukuh asas pembahagian sel terlebih dahulu. Apabila anda membaca, terutamanya yang melibatkan urutan proses atau istilah-istilah sains, anda harus melakukan hafalan berulangkali. Kemudian, berusaha untuk menulisnya secara berulangkali sehingga anda dapat mengingati secara keseluruhan dengan jayanya. Membina formula sendiri juga amatlah dialu-alukan seperti:
Contoh Monosakarida – Ma Suka Laksa iaitu Maltosa, Sukrosa dan Laktosa
Kesimpulannya, untuk mengatasi masalah lupa, anda harus ada inisiatif sendiri untuk melakukan pembacaan. Pembacaan yang aktif iaitu yang melibatkan kesemua deria anda akan mengelakkan rasa bosan apabila membaca.


SAYA FAHAM BILA CIKGU MENGAJAR TAPI BILA KELUAR DARI KELAS SAJA, SAYA RASA PEMAHAMAN SAYA MENURUN....AGAK-AGAKNYA SAYA FAHAM KOT

Baca terlebih dahulu sebelum kelas bermula. Ini akan membantu pemahaman anda sewaktu guru menerangkannya. Fokus kepada apa yang disampaikan oleh guru. Libatkan secara aktif dalam perbincangan di kelas. Guru hanyalah sebagai pemudahcara sahaja. Menjadi tugas anda sebagai pelajar untuk mengukuhkan pemahaman yang sedia ada. Anda seringkali meluahkan kepada guru supaya melakukan ulangkaji topik-topik yang lepas dalam bilik darjah. Mungkin anda terlupa bahawa tugas mengulangkaji adalah tugas anda tanpa menunggu guru yang melakukannya. Terlalu banyak yang harus guru anda tekankan dan berapalah sangat yang boleh dilakukan oleh insan yang bernama GURU ini dalam waktu pengajaran yang begitu singkat! Jadi, sebagai aktiviti pengukuhan untuk membantu supaya ilmu itu bertahan lama, selalulah melakukan aktiviti menjawab soalan berkaitan topik tersebut sebaik sahaja kelas berakhir. Praktiskan teknik-teknik menjawab yang diajarkan oleh guru. Lebih-lebih lagi, sekarang kita berdepan dengan transformasi bentuk soalan yang menekankan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi.


SAYA DAH BACA, DAH HAFAL, DAH ULANGKAJI TETAPI MARKAH SAYA MASIH RENDAH. SAYA TAK PANDAI, SAYA MALU

Untuk cemerlang Biologi, anda juga harus tahu strategi belajar. Biologi mempunyai tiga kertas iaitu Kertas 1 soalan objektif, kertas 2 soalan struktur dan esei manakala Kertas 3 soalan struktur dan penyediaan eksperimen. Anda seharusnya meluangkan masa menjawab kertas 1 tiga kali dalam seminggu. Lakukannya berulangkali walaupun pada soalan yang sama. Mungkin kali pertama anda menjawab, anda akan mengambil masa yang agak lama kerana terpaksa merujuk kepada buku. Catatkan segala maklumat yang anda perolehi pada soalan. Kali kedua, anda hanya rujuk buku pada bahagian soalan yang anda lupa atau keliru. Dan percayalah, kali ketiga, anda sudah boleh menamatkan aktiviti menjawab lebih pantas dari kebiasaannya. Kertas 2 pula memerlukan pemahaman anda terhadap kehendak soalan.  Baca berulangkali soalan dan pecahkannya kepada empat komponen seperti berikut:

1. Ransangan: informasi atau pemberitahuan yang spesifik
          Rajah, graf, pernyataan dan sebagainya..
2. Arahan
          Lukiskan, terangkan, bandingkan, bezakan, nyatakan maksud, bincangkan dan sebagainya…..

3. Tugasan
          Fahamkan tugasan yang diberi
4. Markah
          Menunjukkan berapa point yang harus anda tulis
Contoh:
      Seorang pelajar menjalankan satu eksperimen dengan menggunakan enzim X. Dia menggantikan lipid dengan maltosa sebagai substrat. Pada akhir eksperimen, dia mendapati tindak balas tidak berlaku.
      Berdasarkan hipotesis mangga dan kunci, terangkan pernyataan di atas.    
                         (4 Markah)
      Ransangan  : ialah pernyataan iaitu
Seorang pelajar menjalankan satu eksperimen dengan menggunakan enzim X. Dia menggantikan lipid dengan maltosa sebagai substrat. Pada akhir eksperimen, dia mendapati tindak balas tidak berlaku 
  Arahan         : Terangkan

               Tugasan       : berdasarkan hipotesis mangga dan kunci, terangkan pernyataan di atas
                Markah        : 4 markah

Begitu juga dengan kertas 3 yang berbentuk teknikal, jadikan latihan menjawab kertas 3 sebagai suatu disiplin. Penekanan yang lebih harus diberikan kepada teknik-teknik menjawab dan ini hanya boleh diperolehi apabila anda membiasakan diri menjawab soalan dan guru menyemak jawapan anda.

ASAL BACA BIOLOGI JE SAYA RASA MENGANTUK....
SAYA RELA BACA NOVEL DARI BACA BIOLOGI......
TAPI, SAYA SUKA BACA BIOLOGI ATAS KATIL SAYA..SENANG NAK TIDUR...
Wah! Banyak pula alasan yang anda berikan apabila disoal oleh guru kenapa markah anda tidak seperti yang diharapkan.
Apabila anda ingin cemerlang, anda harus BERKORBAN segala kesenangan, keegoan dan kenikmatan. Sebagai contoh, anda senang sekali membaca buku atas katil empuk anda. Anda sendiri pun tahu, anda hanya membaca untuk 20 minit yang pertama sahaja dan kemudian anda akan mula tertidur. Apa kata, mulakan dari sekarang, korbankan seketika kesenangan anda, bangun dan belajarlah di meja. Pastikan semua alat tulis dan buku rujukan sudah ada di sisi. Pengudaraan yang baik dan pencahayaan yang cukup dapat mengelakkan anda mengantuk. Begitu juga anda begitu ego mengatakan anda akan mengantuk apabila membaca buku Biologi. Mengapa? Kerana anda hanya sekadar membaca, anda harus melibatkan kesemua deria anda dan jadikan pembacaan anda aktif seperti mencatat nota-nota penting, melukis rajah, membuat peta minda dan menjawab soalan. Membaca novel sememangnya suatu kenikmatan yang tidak terhingga bagi mereka yang meminatinya. Namun, harus diingatkan bahawa anda perlu berkorban kenikmatan tersebut demi kenikmatan kejayaan yang lebih besar. Novel yang ada di pasaran sekarang ini kebanyakannya mengutarakan kisah percintaan yang hampir sama. Anda terbuai-buai perasaan mengikut perjalanan cerita yang hanya direka oleh penulis untuk melariskan jualan. Apa kata jika anda simpankan sahaja novel tersebut sebagai stok simpanan untuk dibaca usai SPM tamat. Resepi orang yang berjaya ialah, mereka sanggup berkorban demi kejayaan yang lebih gemilang di kemudian hari. Nikmat anda membaca novel, menonton televisyen, tidur berjam-jam lamanya hanyalah nikmat sementara yang harus dikorbankan supaya anda dapat menikmati kemanisan yang lebih berganda-ganda nanti.
Kesimpulannya;
Tips belajar Biologi di atas akan bermanfaat sekiranya kita melaksanakannya dengan kesungguhan hati disertai niat dan motivasi tinggi, penuh konsentrasi, dilakukan secara teratur  dan harus sering diulang. Jika cara – cara di atas kita laksanakan sebaik – baiknya , maka kita akan tercengang melihat hasilnya. Selamat mencuba dan semoga berhasil.



Thursday, February 14, 2013

Apa kegunaan minuman isotonik?

Terdapat pelbagai jenama minuman isotonik di pasaran ketika ini....

dan cikgu percaya yang anda semua gemar meminum air isotonik kerana rasanya...betul tak?

Jadi sekarang, cuba kita lihat apakah kegunaan meminum air isotonik lebih-lebih lagi ketika anda kepenatan setelah seharian mengharungi aktiviti yang pelbagai....
 
Air isotonik ialah suatu larutan yang mempunyai kepekatan yang sama dengan cecair yang terdapat dalam badan iaitu bendalir tisu. Bermakna tiada pergerakan bersih molekul air akan berlaku (pergerakan bersih molekul air masuk dan keluar adalah sama).
apabila anda meminum air isotonik, ia adalah bertujuan untuk menggantikan air yang hilang dari badan anda dan untuk mengelakkan dehidrasi...

Wednesday, August 29, 2012

Pemilihan Pengawas 2013

Makluman; kepada pelajar-pelajar SMK SALOR yang berminat untuk menjadi Pengawas bagi sesi 2013, bolehlah mendapatkan borang bermula esok daripada Pn. Munirah Jaafar.





Cikgu sengaja memasukkan gambar-gambar Pengawas bagi menjelaskan betapa Pengawas mempunyai banyak jasa kepada pihak sekolah. Sesungguhnya cikgu amat menghargai bantuan dan keprihatinan Pihak Pengawas dalam membantu pihak sekolah...rasa sangat sedih kerana kemungkinan besar pada tahun hadapan, cikgu tidak lagi menjawat jawatan Setiausaha Pengawas bagi memberi laluan kepada guru-guru lain yang lebih proaktif, berdaya kreatif dan mempunyai banyak idea......